Saturday, July 19, 2008

Pengorbanan BN hasil Pengurangan Subsidi Minyak

-utusan malaysia-

Exco Terengganu dapat Mercedes ganti Perdana V6

KUALA TERENGGANU 19 Julai – Kerajaan Terengganu membelanjakan kira-kira RM3.43 juta bagi membeli 14 buah Mercedes E200 Kompressor untuk menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Kereta berkenaan yang dibeli dengan harga tanpa cukai RM245,000 sebuah adalah bagi kegunaan 10 orang Exco kerajaan negeri, Speaker Dewan Undangan Negeri, setiausaha kerajaan negeri, pegawai undang-undang dan pegawai kewangan.

Beberapa ahli Exco kerajaan negeri serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong dilihat menggunakan kenderaan berkenaan pada majlis-majlis rasmi yang dihadiri mereka hari ini.

Mokhtar ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Asian Watercross Super Cup Terengganu di Batu Burok di sini hari ini berkata, keputusan membeli kereta mewah berkenaan dibuat oleh kerajaan negeri beberapa bulan lepas.

‘‘Kenderaan ini mula diterima awal bulan ini dan mula digunakan minggu ini,’’ katanya sambil memberitahu, pembelian itu tidak termasuk untuk Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang masih menggunakan kenderaan rasmi Mercedes sedia ada.

Beliau memberitahu, antara sebab pembelian itu ialah atas tujuan keselamatan dan penjimatan jangka panjang terutama dari segi penyelenggaraan.

‘‘Setelah dibuat kajian, kerajaan negeri mendapati untuk tujuan jangka panjang, penggunaan kereta baru ini adalah lebih baik menggantikan Perdana V6 Executive yang digunakan sejak lebih empat tahun lepas,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, masih ada ahli Exco kerajaan negeri belum menggunakan kereta berkenaan kerana perlu menunggu proses pendaftaran kenderaan.

No comments: